Saturday, 23 July 2011

Kenapa Perlu Kesatuan

Kenapa Perlu Kesatuan?
Penubuhan kesatuan sekerja mempunyai beberapa tujuan yang membela peluang dan nasib pekerja melalui perundingan atau perjanjian kolektif di mana kesatuan yang ditubuhkan hendaklah diperakui di  bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 di samping merujuk kepada Akta Perhubungan Industri 1967.

Kadar upah yang lebih baik
Kesatuan akan menuntut kadar upah yang lebih baik dan setimpal dengan kerja yang dilakukan demi meningkatkan kualiti hidup dan menghadapi inflasi. Upah yang sepatutnya diterima oleh para pekerja mestilah bersesuaian dengan keadaan ekonomi semasa.

Kondisi, kesihatan dan keselamatan pekerjaan yang lebih baik
Faedah kebajikan pekerja seperti cuti, rawatan perubatan serta penyelarasan waktu kerja, kerja lebih masa, faedah persaraan dan sebagainya yang lebih baik akan dirunding oleh Kesatuan.

Jaminan pekerjaan yang lebih baik untuk masa depan pekerja mahupun keluarga
Status pekerjaan anda lebih terjamin dengan adanya Perjanjian Bersama (Collective Agreement - CA) oleh Kesatuan dan Majikan. Dengan adanya CA ini, maka dalam sepanjang tempoh (3 tahun) kuatkuasa CA hak-hak ahlinya adalah selamat dan terjamin berlandaskan terma dan syarat dalam CA tersebut.

 
Menghapuskan dasar diskriminasi
Majikan telah mewujudkan pelbagai diskriminasi dan pilih kasih antara pekerja. Diskriminasi antara pekerja tetap dan pekerja kontrak, pilih kasih di antara kaum atau jantina dan sebagainya adalah lumrah dalam suasana pekerjaan sekarang. Kerja yang sama sepatutnya mendapat upah dan faedah yang sama! Dan semua perlu diberi peluang tidak kira jantina, kaum atau sebagainya
!


Mendapatkan pendidikan, khidmat nasihat dan guaman Kesatuan
Kesatuan akan memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkenaan dengan hak pekerja dan bantuan guaman kepada ahli sekiranya berlakunya pemecatan kerja yang tidak adil atau masalah-masalah dalam pekerjaan.
Penyampai Suara Pekerja
Kesatuan berperanan bertindak sebagai orang tengah bagi menyampaikan hastrat dan suara pekerja-pekerja kepada majikan. Ia adalah salah satu saluran aduan kepada pekerja-pekerja.

MemprosesTuntutan Pengikitrafan Kesatuan Sekerja

Sesebuah kesatuan sekerja perlu diiktiraf oleh majikan sebelum ia dapat mengadakan perundingan kolektif (collective bargaining). Bagi mendapatkan pengiktirafan, sesebuah kesatuan sekerja perlu mengemukakan tuntutan pengiktirafan ke atas majikan dalam borang yang ditetapkan (Borang A - Peraturan-Peraturan Perhubungan Perusahaan, 1980). Majikan perlu memberi respon dalam tempoh 21 hari, mengikut salah satu dari yang berikut :
      (i) memberi pengiktirafan; atau
      (ii) tidak mengiktiraf dan memaklumkan kesatuan sebab-sebabnya..
Jika majikan tidak memberi pengiktirafan secara sukarela sebagaimana di (ii) di atas atau tidak mengambil apa-apa tindakan, kesatuan boleh mengadu kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh diberitahu oleh majikan atau tamat tempoh 21 hari. Jabatan Perhubungan Perusahaan akan memproses tuntutan pengiktirafan kesatuan menurut peruntukan undang-undang di atas aduan dari kesatuan. Proses ini termasuk meminta Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja menentukan kelayakan kesatuan mewakili pekerja-pekerja. Jabatan Perhubungan Perusahaan akan menjalankan pemeriksaan keahlian secara undi sulit sekiranya kesatuan tersebut layak mewakili pekerja-pekerja. Menteri Sumber Manusia akan membuat perintah supaya pengiktirafan itu diberi sekiranya kesatuan mempunyai kelayakan dan majoriti keahlian dengan majikan tersebut.

Mana-mana pihak boleh menimbulkan pada bila-bila masa, samada sebelum atau selepas pengiktirafan diberikan, sama ada mana-mana pekerja atau pekerja-pekerja yang diambil berkerja dalam kapasiti pengurusan, eksekutif, kerahsiaan atau keselamatan boleh dirujukkan kepada Ketua Pengarah.

Penubuhan Kesatuan Sekerja

Bank Pertanian Malaysia telah dikorporatkan pada 01 April 2008.  Tujuan pengkorporatan sesebuah organisasi sektor awam antaranya ialah membolehkan  pengurusan lebih cekap dan berkesan, mengurangkan kos operasi dan juga mengurangkan beban kerajaan. Namun ia masih amat bergantung kepada ‘jentera’ untuk menggerakkan operasinya bagi mencapai tujuan tersebut.  ‘Jentera’ yang dimaksudkan ini ialah pekerja-pekerja dalam organisasi.  Para pekerja dalam sesebuah organisasi memainkan peranan paling penting dalam menyumbang kepada usaha-usaha yang dirancangkan oleh pihak pengurusan organisasi. Mereka ini tidak dinilai dari segi jawatan dan pangkat,  daripada kumpulan pengurusan sehingga kepada kumpulan bukan eksekutif, setiap sumbangan mereka ini perlu dihargai.
Justeru itu, para pekerja di Bank Pertanian Malaysia Berhad di negeri Sarawak juga merupakan sebahagian ‘jentera’ organisasi yang penting. Setiap kebajikan dan kepentingan pekerja dalam bank ini  perlu diberi perhatian bagi menjana kepada pengukuhan perhubungan demi pertumbuhan bank. Bagi menjaga perhubungan antara majikan dan pekerja, salah satu kaedahnya ialah melalui penubuhan kesatuan. Oleh itu, Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Pertanian Malaysia Berhad Negeri Sarawak turut ditubuh dan didaftarkan pengakuannya di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 30hb Ogos 2010.

Setiap pekerja mempunyai hak membentuk dan melibatkan diri dalam kesatuan sekerja sama ada dia seorang pekerja tempatan atau pekerja asing seperti mana yang dinyatakan di bawah seksyen (4) dan (5), Akta Perhubungan Perindustrian 1967.

Penubuhan ini juga bertujuan mengorganisasikan keahlian yang sah dalam memajukan kepentingan mereka dalam bidang perhubungan perusahaan, kemasyarakatan dan ilmu pengetahuan. Kesatuan sekerja memainkan peranan penting dan membantu dalam komunikasi yang berkesan antara pekerja dan majikan. Mereka memberikan nasihat dan sokongan untuk memastikan bahawa perbezaan pendapat tidak berubah menjadi konflik besar.  Dalam pada itu, kesatuan juga mengatur perhubungan antara pekerja dengan majikan bagi maksud melaksanakan perhubungan perusahaan yang baik, meningkatkan lagi taraf sosial ekonomi bagi meningkatkan lagi daya pengeluaran  dan memperolehi serta menambah baik kebajikan dari segi gaji yang berpatutan dan adil, memperbaiki terma perkhidmatan di mana ia adalah bersesuaian  dengan syarat-syarat pekerjaan dan juga keselamatan pekerjaan.

Perjuangan kesatuan ini masih diperingkat awalan tetapi kita akan terus berusaha mempelajari pengetahuan mengenai pentadbiran dan pengurusan kesatuan yang cekap serta berkesan. Kreativiti ahli-ahli dalam menyumbang idea kepada pihak Majlis Jawatankuasa Kerja kesatuan adalah penting dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab kesatuan. Kerjasama dan sokongan daripada semua ahli sangat penting demi mengukuhkan badan pertubuhan ini dan merealisasikan hasrat dan tujuan asal cadangan penubuhan kesatuan, bak kata "bersatu teguh, bercerai roboh."

Presiden