Saturday, 23 July 2011

Penubuhan Kesatuan Sekerja

Bank Pertanian Malaysia telah dikorporatkan pada 01 April 2008.  Tujuan pengkorporatan sesebuah organisasi sektor awam antaranya ialah membolehkan  pengurusan lebih cekap dan berkesan, mengurangkan kos operasi dan juga mengurangkan beban kerajaan. Namun ia masih amat bergantung kepada ‘jentera’ untuk menggerakkan operasinya bagi mencapai tujuan tersebut.  ‘Jentera’ yang dimaksudkan ini ialah pekerja-pekerja dalam organisasi.  Para pekerja dalam sesebuah organisasi memainkan peranan paling penting dalam menyumbang kepada usaha-usaha yang dirancangkan oleh pihak pengurusan organisasi. Mereka ini tidak dinilai dari segi jawatan dan pangkat,  daripada kumpulan pengurusan sehingga kepada kumpulan bukan eksekutif, setiap sumbangan mereka ini perlu dihargai.
Justeru itu, para pekerja di Bank Pertanian Malaysia Berhad di negeri Sarawak juga merupakan sebahagian ‘jentera’ organisasi yang penting. Setiap kebajikan dan kepentingan pekerja dalam bank ini  perlu diberi perhatian bagi menjana kepada pengukuhan perhubungan demi pertumbuhan bank. Bagi menjaga perhubungan antara majikan dan pekerja, salah satu kaedahnya ialah melalui penubuhan kesatuan. Oleh itu, Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Pertanian Malaysia Berhad Negeri Sarawak turut ditubuh dan didaftarkan pengakuannya di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 30hb Ogos 2010.

Setiap pekerja mempunyai hak membentuk dan melibatkan diri dalam kesatuan sekerja sama ada dia seorang pekerja tempatan atau pekerja asing seperti mana yang dinyatakan di bawah seksyen (4) dan (5), Akta Perhubungan Perindustrian 1967.

Penubuhan ini juga bertujuan mengorganisasikan keahlian yang sah dalam memajukan kepentingan mereka dalam bidang perhubungan perusahaan, kemasyarakatan dan ilmu pengetahuan. Kesatuan sekerja memainkan peranan penting dan membantu dalam komunikasi yang berkesan antara pekerja dan majikan. Mereka memberikan nasihat dan sokongan untuk memastikan bahawa perbezaan pendapat tidak berubah menjadi konflik besar.  Dalam pada itu, kesatuan juga mengatur perhubungan antara pekerja dengan majikan bagi maksud melaksanakan perhubungan perusahaan yang baik, meningkatkan lagi taraf sosial ekonomi bagi meningkatkan lagi daya pengeluaran  dan memperolehi serta menambah baik kebajikan dari segi gaji yang berpatutan dan adil, memperbaiki terma perkhidmatan di mana ia adalah bersesuaian  dengan syarat-syarat pekerjaan dan juga keselamatan pekerjaan.

Perjuangan kesatuan ini masih diperingkat awalan tetapi kita akan terus berusaha mempelajari pengetahuan mengenai pentadbiran dan pengurusan kesatuan yang cekap serta berkesan. Kreativiti ahli-ahli dalam menyumbang idea kepada pihak Majlis Jawatankuasa Kerja kesatuan adalah penting dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab kesatuan. Kerjasama dan sokongan daripada semua ahli sangat penting demi mengukuhkan badan pertubuhan ini dan merealisasikan hasrat dan tujuan asal cadangan penubuhan kesatuan, bak kata "bersatu teguh, bercerai roboh."

Presiden

No comments:

Post a Comment